Salam sejahtera pembaca budiman,
Banyak blog khususnya dalam bahasa Melayu amat baik dari segi penulisan. Artikelnya penuh dengan ilmu, fakta dan pengalaman penulis.
Semua orang akan suka baca seperti ini dan akan datang semula pada masa akan datang. Masalah yang timbul, dek kerana mengejar trafik, matlamat asal blog sudah lari.
Blog bukan untuk susahkan pembaca.
Tanyalah sesiapa pun, tujuan asal menulis blog adalah untuk berkongsi sesuatu. Tidak kiralah kongsi cerita peribadi, pengalaman mengelilingi dunia atau kisah kucing tersayang sekalipun, blog perlu mesra pembaca bukan susahkan pembaca.
Auto Like Blog adalah satu skrip yang akan terpapar apabila melayari sesuatu blog. Pemilik blog akan memasang skrip auto like blog dengan satu tujuan iaitu menambah like fan page bagi menarik trafik yang lebih banyak.
Apabila pertama kali mengunjungi blog, skrip ini akan terpapar secara automatik dan menghalang artikel di belakangnya. Jika pembaca tidak klik Like, mereka perlu tunggu berpuluh saat bukan beberapa saat.
Contohnya tunggu 20 saat atau klik Like untuk terus membaca. Kan susah namanya tu? Pembaca datang untuk membaca bukan untuk suka atau tidak. Hak suka atau tidak adalah hak peribadi pembaca. Tidak boleh paksa dengan sesuatu perkara.
Facebook memang paling terkenal di Malaysia. Menggunakan teknologi Facebook adalah salah satu cara baik menarik trafik ke blog. Teknologi ini bagus untuk blog tetapi perlu kena pada cara dan tempatnya.
p/s: Maaf jika ada yang terasa. Ini cuma pandangan peribadi sebagai seorang pembaca blog tempatan. Saya seronok baca blog tetapi jika menyusahkan, lain kali mungkin tidak kembali.



Comments